Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Nisbah Antara 2 Kulli

Khamis, 19 Jun 2008

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian. Semoga sihat selalu. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu melalui sedikit kefahaman yang Allah kurniakan. Ketika saya menulis perenggan ini, periksa yang dijadualkan hanya tinggal lagi 6 hari sahaja. Saya telah pun memulakan langkah persediaan menghadapi saat penentuan tersebut mengikut jadual ringkas yang saya cipta khusus untuk hari kecemasan. Saya dapat merasakan bahawa saya telah pun memasuki zon tidak selesa. Mungkin kalau zon selesa, bukanlah kitab yang saya hadapkan, tetapi perkara lain yang saya lakukan. Hari ini tiba giliran untuk saya menyelak lembaran-lembaran kitab Ulum Hadis yang keseluruhannya membincangkan tentang hadis dhaif. Ketika membaca, terlihat satu istilah yang biasa saya jumpa; العموم والخصوص الجهي. Terfikir juga apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ungkapan tadi walau pun banyak kali saya lihat. Tidak teringat bahawa ungkapan tersebut sebenarnya telah pun saya pelajari dalam mata pelajaran المنطق (Mantiq) ketika berada di tahun satu.

Ungkapan العموم والخصوص الوجهي termasuk dalam perbahasan الكلى والجزئى (kulli dan juz’ie) dalam ilmu Mantiq. Mungkin sahabat-sahabat yang tidak pernah belajar tertanya-tanya apa pula kulli dan juzie atau pun sudah belajar, tapi jarang-jarang diulang, maka lupa.

Al-Kulli (الكلى)

Setiap lafaz yang boleh dikongsi (hakikatnya atau individunya) berdasarkan tinjauan akal fikiran.

Contohnya: Universiti.

Kalimah universiti merangkumi semua university termasuklah Universiti al-Azhar, UIA, UUM dan lain-lain.

Universiti al-Azhar, UIA, UKM dan universiti-universiti yang lain semuanya berkongsi pada kalimah university.

Ini bermakna: kalimah Kulli adalah kalimah yang menunjukkan makna yang umum.

Al-Juz’ie(الجزئى)

Setiap kalimah yang tidak boleh dikongsi oleh sesuatu yang lain.

Contohnya: Universiti al-Azhar al-Syariff.

Maka, ia hanya merujuk kepada sebuah unversiti terulung yang berada di Mesir.
Manakala universiti lain tidak termasuk di dalamnya kerana kalimah “Universiti al-Azhar al-Syariff” kalimah yang tidak boleh dikongsi dengan universiti lain.

Dengan kata lain: Al-Juzie adalah kalimah yang menunjukkan sesuatu yang khusus.
Setelah kita memahami makna bagi kedua-dua istilah al-Kulli dan al-Juzie, saya ingin membawa sahabat-sahabat terus kepada ungkapan العموم والخصوص الوجهي. Ia terletak di bawah tajuk “Nisbah antara dua al-Kulli”.

Nisbah antara dua al-Kulli

Contohnya: nisbah antara kalimah haiwan dan manusia.
(haiwan adalah kulli kerana umum, menunjukkan semua jenis haiwan dan binatang)
(manusia juga kulli meliputi semua insan tidak kira bangsa dan warganegara)

Apabila menyebut tentang tajuk ini, kemungkinan ada yang bertanya apa yang dimaksudkan dengan nisbah antara dua kalimah kulli. Mungkin untuk memahaminya, saya boleh katakan; perbandingan atau perbezaan antara dua kalimah yang kedua-duanya adalah kulli. Seperti mana contoh di atas.

Apabila kita bandingkan atau nisbahkan antara 2 kalimah yang kulli, maka ada 4 nisbah:

1. التباين (al-Tabaayun): Nisbah ini dari segi individunya tidak bersatu. Atau saya katakan; antara kedua-dua kalimah kulli tersebut tidak ada langsung persamaan untuk kita letakkan salam satu katogari.

Contoh: manusia dan pokok
((manusia termasuk dalam katogari haiwan)) manakala
((pokok termasuk dalam katogari tumbuh-tumbuhan)).



>> dalam nisbah ini saya datangkan rajah, begitu juga nisbah yang seterusnya. Rajah-rajah ini menunjukkan nisbah antara 2 perkara atau 2 kulli.
>> setiap persamaan antara dua nisbah akan ditunjukkan dengan pertindihan 2 bulatan tersebut, dan akan diwarnakan dengan kelabu pada kawasan yang bertindih.

Rajah di atas menunjukkan 2 buah bulatan. Bulatan kiri mewakili hakikat seorang manusia dan bulatan kanan mewakili hakikat sebatang pokok. Maka tiada satu pun persamaan di antara hakikat manusia dan pokok.

2. التساوى (at-Tasawi): Nisbah ini, individu bagi kedua-dua kalimah kulli tersebut adalah individu yang sama secara keseluruhannya (100% sama).

Contoh: manusia dan haiwan yang bertutur
((manusia itu adalah haiwan yang bertutur)) dan
((haiwan yang bertutur adalah manusia)).

Kedua-duanya mempunyai hakikat yang sama.


Rajah di atas menunjukkan 2 bulatan yang bertindih, antara ((manusia)) dan ((haiwan yang bertutur)).
Ia menunjukkan bahawa hakikat ((manusia)) pada masa yang sama juga adalah hakikat ((haiwan yang bertutur))

3. العموم والخصمص المطلق :

Antara 2 kulli;
kulli yang pertama lebih khusus daripada kulli yang kedua. Dan sebaliknya;
kulli yang kedua lebih umum daripada kulli pertama

Contoh: haiwan dan singa
((singa –keseluruhannya- termasuk dalam katogari haiwan)) tetapi
((hanya -sebahagian sahaja- daripada haiwan adalah singa)) atau
((bukanlah semua jenis haiwan adalah singa))

Kita katakan bahawa :
Haiwan lebih umum daripada singa.
Singa pula lebih khusus daripada haiwan.
Tidak sebaliknya ( iaitu kita tidak katakan haiwan lebih khusus daripada singa).


Rajah di atas menunjukkan bulatan yang mewakili singa berada di dalam bulatan yang
mewakili haiwan. Apa yang kita faham daripadanya adalah manusia digolong dalam katogari haiwan.
Manakala “kuda” berada luar daripada bulatan singa tetapi masih berada dalam bulatan haiwan. Ini menunjukkan bahawa kuda adalah haiwan tetapi bukan singa.

4. العموم والخصمص الوجهي أو من وجه :

Antara 2 kulli jika dilihat dari 2 sudut yang berbeza;
Kulli pertama lebih khusus daripada kulli kedua pada 1 sudut, dan pada masa yang sama,
kulli pertama lebih umum daripada kulli kedua pada sudut yang lain.

((Tambahan: Apabila kita mengatakan A lebih khusus daripada B, ini bermakna apa yang boleh kita faham disebaliknya adalah B lebih umum daripada A))

Contoh: pelajar dan orang Malaysia

Kita katakan bahawa:
  • Pelajar lebih umum daripada orang Malaysia (jika dilihat dari satu sudut).
  • Tidak semua pelajar adalah orang malaysia
kerana pelajar umum meliputi pelajar Indonesia, pelajar mesir dan lain-lain.

Dan boleh juga kita katakan:
  • Pelajar lebih Khusus daripada orang Malaysia (jika dilihat dari sudut yang lain pula).
  • Orang Malaysia lebih umum daripada pelajar (kefahaman di sebalik pelajar lebih khusus)
  • Tidak semua orang malaysia adalah pelajar
Kerana orang malaysia umum meliputi guru, pekerja, menteri dan sebagainya.

Ini bermakna;
Pelajar, jika dilihat dari 2 sudut yang berbeza,
ia lebih khusus berbanding dengan orang Malaysia, dan pada masa yang sama
ia lebih umum daripada orang Malaysia.

A : Berada di dalam bulatan Pelajar, menunjukkan A adalah pelajar. Walau bagaimanapun A bukanlahorang Malaysia. Mungkin dia adalah orang Mesir atau orang Thailand atau orang Mongolia dan sebagainya.

C : Berada di dalam bulatan Orang Malaysia, menunjukkan C adalah rakyat Malaysia. Tetapi dia bukanlah seorang pelajar. Boleh jadi dia berkerja sebagai seorang guru, atau pegawai dan sebagainya.

B : Berada di kawasan pertindihan, menunjukkan bahawa B adalah seorang pelajar yang menjadi rakyat Malaysia.

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

syukran. penerangan yang bermanfaat.

10 Januari 2013 2:04 PTG

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin