Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Hadis Dhoif الحديث الضعيف

Khamis, 19 Jun 2008

Takrifnya dari segi bahasa.

Kalimah “dhoif الضعيف” adalah Sifat Musyabbahah صفة مشبهة yang berasal dari kalimah al-dho’fu الضَعف atau al-dhu’fu الضُعف . iaitu lawan kepada al-quwwah القوة (kuat).

Takrifnya dari segi istilah.

Ada beberapa takrif, antaranya:

1. Hadis Dhoif ialah hadis yang tidak memenuhi sifat-sifat hadis Sohih dan juga sifat-sifat hadis Hasan.

2. Hadis Dhoif ialah hadis yang tidak memenuhi sifat-sifat al-qabul صفات القبول (sifat-sifat hadis yang diterima pakai)

Sifat-sifat al-qabul adalah seperti berikut:

1. Bersambung periwayat hadisnya.
2. Periwayatnya adil.
3. Periwayatnya Dhobit
4. Tidak Syuzuz شذوذ .
5. Tidak ada ‘illah علة (kecacatan)
6. Dan juga datangnya hadis dalam bentuk yang lain yang mana pada isnad hadis tersebut terdapat periwayat yang tersembunyi, namun periwayat tersebut tidak dituduh berbohong dan tidak banyak kesalahannya.

>> Maka, mana-mana hadis yang hilang 1 daripada sifat-sifat ini, sebahagian, apatah lagi semua, maka ianya dihukumkan sebagai Hadis Dhoif.

3. Hadis Dhoif adalah hadis yang tidak memenuhi sifat Hadis Hasan. Kalaulah sifat-sifat hasan pun tidak dimiliki oleh hadis tersebut, inikan pula sifat-sifat hadis sohih. Lebih-lebih lagi ia tidak dimilik oleh hadis tersebut.


Pembahagian Hadis Dhoif

Ulama berbeza pendapat mengenai pembahagian hadis jenis ini disebabkan terlalu banyaknya keadaan yang menyebabkan hadis digolongkan dalam katogari Dhoif.

Maka ada sebahagiannya yang berpendapat terdapat 49 bahagian hadis dhoif berdasarkan kehilangan 1 sifat al-qabul pada hadis.

Dan dari segi kehilangan 2 sifat al-qabul atau lebih, pendapat ini mengatakan terdapat 42 lagi bahagian hadis dhoif, bahkan ada sebahagian ulama yang mengatakan ianya mencecah ke angka 63.

Perbincangan mengenai pembahagian hadis dhoif sememangnya merupakan perbincangan yang panjang boleh memenatkan. Walau bagaimanapun ia tidak lari daripada tujuan untuk mengetahui martabat-martabat hadis, mana satu yang lemah, dan mana satu yang lebih lemah.

Perbezaan Martabat Hadis

Perbezaan martabat atau darjat setiap hadis adalah berdasarkan kepada:-

1) Berbezanya periwayat sesuatu hadis.
2) Berbezanya hadis dari segi banyak atau sikit perkara yang me”lemah”kan hadis.

Perbezaan pada martabat hadis ini kadang-kadang berbalik kepada sanadnya yang diungkapkan sebagai periwayat, dan kadang-kadang berbalik kepada matan hadis.

Hadis dhoif yang disepakati secara bersama mengenai kedhoifannya semestinya tidak berada pada martabat atau darjat yang sama dengan hadis yang mana terdapat percanggahan pada status dhoifnya walaupun dirojihkan bahawa ianya dhoif.

Begitu juga hadis yang dhoif dengan sebab periwayatnya berbohong atau fasiq tidak berada pada taraf yang sama dengan hadis yang dhoif dengan sebab periwayatnya tersalah atau lemah hafalannya.

0 Komen:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin