Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Terjemahan kepada Ilmu Tuntutan

Selasa, 7 April 2009

PENDAHULUAN

Alhamdulillah, Selautan syukur kita panjatkan kepada Allah Taala di atas segala rahmat dan kasihnya terhadap kita. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, para sahabatnya, ahli keluarganya, para ulama' dan mereka yang berada di atas jalan menegakkan agama Allah s.w.t.

Mahasiswa-mahasiswi yang dirahmati Allah Taala sekalian,

Dalam Suara Permata keluaran kali ini, saya ingin berbicara serba sedikit mengenai apa yang dikatakan sebagai pengurusan di dalam Islam. Sudah tentu Islam sebagai tata susila hidup manusia yang lengkap amat menitik-beratkan soal pengurusan agar hidup seseorang itu teratur dan dan tersusun. Seseorang yang mampu untuk mengurus dengan baik di dalam setiap gerak kerjanya akan melahirkan input yang berguna dan ia menjadi sesuatu yang tinggi harganya pada pandangan masyarakat. Akan tetapi sebaliknya pula yang akan berlaku jikalau seseorang itu gagal dalam aspek ini, maka besar kemungkinan, mereka akan gagal dalam setiap perancangannya.

Perkara ini telah terbukti apabila sejarah sendiri telah merakamkan bahawa ketidakcekapan umat Islam mengurus pentadbiran negara mereka telah berakhir dengan penjajahan yang dilakukan oleh Kuasa Barat terhadap negara umat Islam tersebut. Mereka telah menandatangani perjanjian yang membenarkan campurtangan daripada Kuasa Barat dalam hal ehwal pentadbiran negara mereka tanpa menyedari bahawa hakikatnya itu merupakan muslihat bagi menjatuhkan pemerintahan Islam pada ketika itu.

Sahabat-sahabiah sekalian,

Sememangnya apabila kita berbicara mengenai aspek pengurusan ini, ia berkait rapat dengan bidang kepimpinan. Ini kerana seorang yang memimpin secara tidak langsung akan terlibat di dalam pengurusan organisasinya dan ia mencabar sejauh mana kebijaksanaannya mencaturi setiap langkah bagi menyusun strategi mencapai objektif yang disasarkan. Perkara ini bukanlah suatu perkara yang remeh-temeh yang boleh dipandang enteng pada kaca mata mahasiswa, bahkan demi menyatakan betapa penting aspek ini diselami oleh setiap mahasiswa, ia turut dinyatakan di dalam sebuah kitab terkenal berjudul, Al-Qiadah Al-Muaththirah yang menyebut bahawa salah satu ciri-ciri kepimpinan yang berkesan adalah pemimpin yang cekap dan bijak mengurus.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri yang merupakan qudwah kita merupakan seorang yang cekap mengurus setiap urusan kehidupan Baginda. Baginda di dalam intitusi kekeluargaan merupakan seorang ketua keluarga. Apabila turun ke medan perang, Baginda merupakan ketua panglima tentera. Apabila berada di masjid, baginda merupakan imam di dalam sembahyang. Semua perkara diuruskan dengan sebaik-baiknya sehingga segala permasalahan yang berlaku dapat diatasi dengan bijaksana.

Keperluan terhadap kecekapan di dalam pengurusan ini amatlah nyata. Ini kerana apa yang diwar-warkan sebagai “Mahasiswa Pemimpin Masa Hadapan” bukanlah suatu omongan bahkan ia merupakan suatu kenyataan yang sepatutnya diambil berat oleh setiap mahasiwa lebih-lebih lagi mereka kini digelar sebagai “ustaz” pada hari ini. Ini kerana merekalah yang akan berhadapan dengan kekacauan dan kacau-bilau yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat apabila mereka pulang ke tanah air kelak

Rakan-rakan yang dihomati,

Menjadi satu kesilapan besar jikalau kita menyangka bahawa bidang pengurusan ini bukanlah suatu perkara yang sukar. Bahkan ia tidak mampu diperolehi dengan cara kita menadah kitab semata-mata, sebaliknya ia memerlukan suatu tindakan yang lebih agresif melalui mekanisma yang dapat memberikan pengalaman yang luas dalam usaha menggali rahsia-rahsia yang tersimpan di sebalik pengurusan yang berkesan. Mekanisma yang saya maksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah persatuan. Dengan berpersatuanlah kita dapat menterjemahkan tadahan kita di bilik kuliah itu ke dalam praktikal yang pastinya akan mengundang teguhnya ilmu dan keyakinan kita terhadapanya. Maka saya menyeru diri saya dan rakan-rakan sekalian agar tidak mengenepikan aktiviti persatuan di sini yang cuba dibawa oleh persatuan kita yang tersayang, Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Barisan AJKT DPMT Sesi 2008/2009
bersama al-Fadhil Ustaz Hanafi.

PENUTUP

Jangan sampai kebatilan menjadi raja hanya kerana ia berbisa dek pengurusan yang tiada tanding taranya, sedang keadilan jatuh tersungkur bahkan ditimpa tangga, bukanlah kerana ia tidak berkuasa tetapi kerana malang yang menimpa, sistemnya yang tiada.

(Artikel ini diterbitkan oleh Suara Permata Bil. ke-3)

0 Komen:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin