Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Hadis Dhaif Disebabkan Sanad Yang Terputus

Selasa, 1 Disember 2009

Hadis-hadis menjadi dhoif kerana kehilangan satu daripada syarat-syarat sohih atau lebih. Oleh kerana itu, pembahagian hadis boleh dibuat berdasarkan kepada kehilangan setiap satu daripada 5 syarat yang ditetapkan oleh para ulama’ hadis.

Salah satu syarat untuk menjadikan satu-satu hadis itu sohih adalah sanadnya mestilah tidak terputus dan bersambung daripada orang yang terakhir meriwayatkan hadis tersebut sehinggalah sampai kepada Rasulullah. Mana-mana hadis yang terputus atau jatuh sanadnya adalah hadis dhoif.


Berdasarkan kepada kisah yang saya dalam entri Pengenalan Sanad, gambaran mengenai sanad yang terputus adalah seperti berikut:

Ibu Wirna mengatakan bahwa dia mendengar kisah tersebut daripada Wirna, dan Wirna memberitahu bahawa abangnya Amirul yang menceritakan peristiwa tersebut kepadanya, dan Amirul berkata dia mendengar daripada kawannya Ahmad.

Ini adalah contoh ringkas yang saya reka. ia menunjukkan seorang daripada watak yang terlibat telah terjatuh atau tercicir atau telah terpadam. Watak tersebut adalah Mawi yang terletak di antara Ahmad dan Amirul. Oleh sebab itu, sanad berkenaan tidak bersambung dan perkara sedemikianlah yang berlaku pada sanad hadis Rasulullah S.A.W yang menyebabkan hadis berkenaan menjadi dhoif.

Sanad Terputus Secara Jelas

Jikalau sanad yang terputus itu berlaku secara jelas, maka ulama' membahagikan keadaan tersebut kepada 4 jenis hadis seperti mana berikut:

1. Mu’allaq معلق
2. Munqhoti’ منقطع
3. Mu’dhol معضل
4. Mursal مرسل

Rantaian sanad yang terputus boleh berlaku melibatkan sanad yang berada di permulaan sanad atau di pertengahannya atau di akhirnya.

1. Jika sanad yang jatuh itu di permulaan rantaian sanad (tanpa mengambil kira bilangan sanad yang jatuh, samada 1 atau 2 atau lebih, sehinggakan semua sanadnya jatuh), maka ia adalah mu’allaq.

2. Jika sanad yang jatuh itu di akhir rantaian sanad, maka ia adalah mursal.

3. Jika sanad yang jatuh itu di pertengahan rantaian sanad walau pun berbilang tempatnya, dan hanya 1 sahaja sanad yang jatuh pada setiap tempat serta tidak berturut-turut, maka ia adalah munqoti’.

4. Jika sanad yang jatuh itu di pertengahan rantaian sanad walau pun berbilang tempatnya, dan pada setiap tempat jatuh sebanyak 2 sanad atau lebih secara berturut-turut maka ia adalah mu’dhol.

Kesemua jenis dhoif yang disebutkan di atas adalah jelas diketahui bahawa sanadnya telah jatuh, ini bermakna, secara terang-terangan ia menunjukkan bahawa terdapat sanad yang telah tercicir dan sanad yang jatuh itu tidak tersembunyi daripada pengetahuan orang-orang yang mengaji dan mendalami ilmu hadis.

Sanad Terputus Secara Tersembunyi.

Walau bagaimana pun terdapat juga di sana, hadis dhoif yang mana sanadnya jatuh secara tersembunyi sehingga menyebabkan ahli hadis tidak menyedari bahawa telah ada sanadnya yang jatuh. Ini menyebabkan tanggapan mereka pada awalnya ia adalah sebuah hadis yang sohih. Namun setelah mereka membuat penelitian serta kajian yang mendalam terhadap hadis berkenaan, barulah mereka mendapati bahawa hadis tersebut sebenarnya dhoif kerana terputus sanadnya yang pada mulanya tidak tidak disedari.

Hadis dhoif daripada jenis ini ada 2:

1. Mursal Khofi مرسل خفي (mursal yang tersembunyi)
2. Tadlis تدليس

Sanad hadis yang bersambung digambarkan melalui konsep setiap periwayat merupakan orang yang mendengar sendiri hadis daripada gurunya secara talaqi, berjumpa serta bertentang mata. Maka amat penting untuk para pengkaji hadis mengetahui sejarah hidup periwayat, bilakah tarikh lahirnya, tarikh wafatnya, tempat tinggalnya, ke mana para perawi merantau dan temat persinggahannya di sepanjang perjalanannya dan lain-lain. Itu semua adalah untuk memastikan bahawa setiap periwayat dalam rantaian sesuatu sanad hadis benar-benar bertemu dan mendengar hadis di antara mereka. Dan yang pasti adalah untuk mendengar hadis daripada seorang ahli hadis dan bertemu dengannya, seseorang itu perlu hidup sezaman dengannya.

Keadaan inilah yang menjadi punca kepada kekeliruan dalam kedua-dua jenis hadis ini. Keadaan ini juga telah dijadikan peluang oleh sebahagian orang untuk melakukan hadis yang tadlis dan mursal. Saya ingin membawa pembaca untuk kita lihat bagaimana hadis boleh menjadi sedemikian.

1.0 Mursal Khofi

Hadis menjadi mursal khofi dalam beberapa keadaan:

Keadaan Pertama:

1 orang periwayat hadis menyatakan bahawa dia mengambil hadis daripada seorang periwayat yang hidup sezaman dengannya, sedangkan dia tidak pernah berjumpa dan tidak pernah mendengar hadis antara satu sama lain.

Keadaan kedua:

# Sanad terputus disebabkan oleh 2 orang periwayat yang hidup sezaman dan pernah berjumpa antara satu sama lain, namun tidak berlaku periwayatan hadis di antara mereka.

# Maka periwayat yang melakukan mursal khafi ini menyatakan bahawa hadis ini didengar daripada rakannya yang telah dia jumpai.

Keadaan ketiga:

# Apabila seorang periwayat itu berguru dengan seorang Sheikh dan telah mendengar (mengambil) banyak hadis daripada sheikh tersebut.

# Dalam keadaan ini, hadis akan menjadi mursal khofi jika periwayat tersebut mengatakan aku mendengar satu hadis ini dan ini, sedangkan hadis yang dinyatakan tersebut sebenarnya bukan didengarinya daripada sheikhnya, tetapi diperolehinya daripada sumber lain.

# Maka sangkaan pendengar bahawa sanad hadis periwayat tersebut bersambung kepada sheikhnya adalah kuat kerana periwayat tersebut sememangnya ada mengambil hadis daripada sheikh, bahkan menjadi anak murid sheikh tersebut.

* Keadaan 2 dan 3 menunjukkan hadis seolah-olah kelihatan bersambung sanad pada mulanya dan tidak disedari bahawa terdapat lompong pada sanadnya kerana periwayat yang melakukan mursal khafi mengatakan dia mendengar hadis berkenaan daripada periwayat yang hidup sezaman dengannya. Oleh itu, orang boleh menyangka kata-katanya adalah benar kerana kemungkinan untuk dia mendengar hadis daripada orang yang sezaman dengannya adalah besar. Namun keadaan sebenarnya adalah sebaliknya kerana:

# Dia tidak pernah pun berjumpa dengannya apatah lagi mendengar,
# Atau mereka telah berjumpa tetapi tidak pun mendengar hadis daripadanya.

Percanggahan pendapat ulama dalam Mursal Khafi:

1. Ulamat bersepakat bahawa keadaan pertama adalah Mursal Khafi.

2. Walau bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan di kalangan ulama mengenai keadaan 2 dan 3 kerana ada yang mengatakan bahawa ia bukan mursal khafi, tetapi ia adalah salah satu bentuk Tadlis.

2.0 Hadis Mudallas

Begitu juga hadis dhoif akan menjadi mudallas مدلس (hadis yang di’tadlis’) jika jatuh salah satu sanadnya (1 sahaja) dan sebagai gambaran, saya perkenalkan 2 watak sebagai contoh:

1. Pak Mat: orang yang meriwayatkan hadis secara tadlis.
2. Abu: orang yang meriwayatkan hadis kepada Pak Mat. Berperanan sebagai guru kepada Pak Mat, dan Pak Mat mengambil hadis daripada gurunya, Abu.

Sedia maklum bahawa Pak Mat hidup sezaman dengan Abu iaitu orang yang meriwayatkan hadis kepada Pak Mat, dan diketahui juga bahawa mereka berdua, Pak Mat dan Abu ini telah berjumpa antara satu sama lain. Maka Pak Mat pun mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan daripada Abu sedangkan dalam keadaan sebenar hadis tersebut bukanlah diambil daripada Abu, tetapi daripada gurunya yang lain.

Oleh kerana itu, orang akan menyangka hadis ini bersambung sanadnya kerana Pak Mat mengatakan bahawa dirinya mendengar sendiri daripada gurunya. Hadis sebegini jikalau tiada penilitian yang mendalam, pasti orang akan mengatakan ianya sohih sedangkan sebenarnya ia adalah dhoif. Walau bagaimanapun, bukanlah bermakna hadis yang mudallas, perawinya adalah pembohong, boleh jadi perawinya terkeliru ketika menyampaikan hadis tersebut.

Terdapat beberapa bentuk pentadlisan hadis dan ini adalah salah satu daripadanya.

0 Komen:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin