Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Adakah Imtihan kan Berakhir di Sini?

Selasa, 16 Jun 2009

Musim imtihan telah pun berlalu bagi saya. Ianya begitu pantas berlalu, datang dan pergi tanpa kata yang menyapa. Sedar atau pun tidak, kesemua 10 mata pelajaran untuk fasal 2 telah pun saya akhiri, bermula dengan tahiri dan diikuti dengan syafawi. Sama ada saya menempuhnya atau pun ia dirempuh, kedua-duanya mungkin terjadi, itu semua bergantung kepada sejauh mana penguasaan saya terhadap setiap satu mata pelajaran yang wajib dipelajari. Maka saya katakan 'menempuh' bagi yang telah bersiap sedia untuk ditempuh, dan 'dirempuh' bagi yang hadir tanpa bekalan dan persiapan penuh.

(Gambar Hiasan)

Rempuhan sebegini tidaklah diketahui sejauh manakah kerosakan yang terhasil, mungkin saja ia mengakibatkan keremukan yang tidak terkata, atau hanya sekadar calar yang tidak dipandang mata. Semuanya telah pergi, yang ada hanyalah tawakkal kepada ilahi, dan doa yang seharusnya tidak bertepi di samping munajat di malam hari.

Dengarkan suatu kalam yang berkata:

Apa yang telah pergi, maka ia telah pergi.
Sesiapa yang mati, maka dia telah mati.


Dengarkan pula titah Pencipta:

Maksudnya:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

(al-Baqarah : ayat 186)

Dengarkan lagi kalam-Nya:


Maksudnya:

Dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang Yang beriman itu bertawakal.

(Surah Ali Imran : ayat 122)

Namun, ada segilintir rakan-rakan yang masih bergelut dengan sanubari mereka, penuh harapan andainya diberikan peluang walau hanya sekali yang bagi digunakan untuk membebaskan diri dari belenggu kepenatan menghadapi hari peperiksaan. Sememangnya ia sangat memenatkan, saat itulah perlunya kita memerah segala keringat dan tenaga, menelan apa yang diminta dan menghadamkan apa yang sewajarnya. Otak, mata, dan mulut, bahkan semua anggota terlibat sama menjayakannya. Walaupun mungkin ada segelintir yang menafikan, namun bagi saya ia sememangnya begitu, tetap memenatkan.

Sebaik saja saya tamat peperiksaan tahiri, terasa seperti diangkat segala kotak besi di bahu saya. Lapang rasanya. Mungkin ada rakan yang gembira sampai meraikannya.

Tidak seperti yang berlaku sepanjang tempoh peperiksaan. Kekadang, sejenak akal memikir, yang manakah yang patut diikutkan, gelocak sang jiwa yang gundah gulana atau runsingkan sesuatu yang bakal mengundang duka. Maka ramailah di antara kita yang kerana runsing itulah mereka memaksa, sambil tidak mengendahkan bisikan jiwa yang meronta-ronta. Itu tidak mengapa, teruskanlah berusaha kerana mungkin benar apa dikatakan pepatah kita:
Ikut kata hati, mati,
Ikut kata rasa, binasa.

Itulah mujahadah kita, mujahadah dalam penentangan kita terhadap nafsu yang tiada jemu untuk melorong manusia ke jalan yang condong dan melalaikan. Kali terakhir untuk kali ini. Ini kerana, siapa yang tidak tahu apa itu nafsu? Nafsu itu walau kita berada di saat kita berhadapan dengan penilaian yang sarat dengan cabaran bertalu-talu sekali pun, ia itu tetap datang menguji kekentalan kita dalam meneraju kepimpinan diri, jasmani mahupun rohani. Maka, kalau pun terpaksa memaksa, biarlah paksaan itu menjadi noktah buat tercapainya impian menjadi penolong untuk agama dan bangsa satu hari nanti.

Ini kerana, sejak bermulanya perjalanan sebahagian kita telah pun kecundang, jatuh rebah lalu retak menunggu binasa. Tetapi jangan biarkan ia menjadi raja, menguasai masa. Maka kita perlu berubah walau pun di saat akhir dan menjadi peringatan agar ia tidak berulang kembali.


Imtihan Sebenar Masih Tidak Berpenghujung

Hampir 1 bulan lamanya saya bertukar-tukar kitab. Satu demi satu berdasarkan jadual peperiksaan yang ditetapkan. Dan dalam tempoh itulah saya melepaskan banyak perkara dan mendatangkan banyak perkara. Apa yang tidak bersangkut-paut dengan peperiksaan kebanyakannya saya tinggalkan begitu saja dan sebaliknya apa yang berkait rapat dengan peperiksaan saya hadirkan dalam jadual harian saya.

Pun begitu, itu sebenarnya adalah persiapan untuk berhadapan dengan imtihan yang hissi, iaitu satu medan imtihan yang ternyata ianya nyata dan bersifat zahir pada tanggapan pancaindera kita. Mata ini melihatnya, telinga ini mendengar kalamnya, tangan dan kaki merasainya. Ini kerana ketika saat tiba waktu yang dijanjikan, kita hadir ke dewan peperiksaan dengan membawa diri dan juga alatan, buat menjawab segala persoalan yang diajukan. Dan mungkin juga ada persoalan yang tidak dijawab, secara sengaja atau pun tidak.

Secara sengaja kerana soalan itu tidak diminta untuk dijawab disebabkan adanya soalan pilihan.

"Sila jawab 2 daripada 3 soalan berikut", bunyi arahan soalan apabila saya membacanya dengan sedikit kuat (kerana, tiada pengawas yang sudi memberi taklimat di sini).

Atau pun sememangnya soalan tidak mampu dijawab, semoga tidaklah berlaku sedemikian. Dan secara tidak sengaja pula boleh disebabkan oleh berbagai-bagai punca. Kesilapan sebegini lazimnya berlaku di kalangan kita, bukan kerana tidak biasa dengan imtihan yang ada, tetapi kerana kita ini manusia. Tidak lekang daripada cacat dan cela. Sedangkan hampir setiap tahun kita berhadapan dengan peperiksaan yang sebegini sistemnya, sejak bergelar kanak-kanak riang ria, sehingga menjadi remaja pemegang panji pemuda.

Itu cerita mengenai imtihan yang hissi.

Lain pula halnya imtihan yang ma'nawi, ia sangat halus untuk ditanggapi oleh pancaindera kita. Mungkin di zaman ini, kita bertemu dengan pelbagai alatan yang dapat membantu manusia dalam apa jua keadaan sekali pun, namun ia tetap bukan pembantu dalam mengenal apa itu imtihan yang ma'nawi.


Apa itu imtihan ma'nawi?

Imtihan ma'nawi yang saya maksudkan adalah imtihan seperti yang terdapat dalam kata-kata penuh makna dari sang Pencipta menerusi surah al-'Ankabut ayat 2 dan 3:

Maksudnya:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?

Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahay
a musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

(Surah al-Baqarah : ayat 214)

Dan juga apa yang dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui firmannya:

Maksudnya:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

(Surah al-Baqarah : ayat 214)

Inilah dia imtihan atau dengan sebutan lainnya ujian yang telah pun kita hadapi sejak sekalian lama, semenjak mencapai usia baligh lagi. Maka bermula dari saat itu, tidak putus-putus Allah mendatangkan ujian kepada kita dalam pelbagai bentuk dan rupa, berwarna atau pun tidak berwarna, samada yang disedari atau tidak, itulah hakikatnya. Mungkin hari ini kita mendapat penghargaan daripada orang-orang sekeliling yang dirasakan sebagai nikmat dan esoknya kita dilanda musibah yang tidak disangka-sangka. Tidak kira nikmat atau pun musibah, itu semua tetap menjadi ujian yang sumber datangnya adalah daripada Allah Taala.


Apakah motifnya?

Perhatikanlah Firman Allah S.W.T yang antara lainnya berbunyi:

Maksudnya:

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.

(Surah Ali Imran : ayat 140-141)

Sepertimana yang dijelaskan, tujuan diberikan ujian ini tidak lain adalah untuk menguji adakah benar-benar kita beriman kepada-Nya sejajar dengan pengakuan yang dikeluarkan oleh lidah kita. Adakah iman kita benar-benar kental seperti mana persetujuan yang diberikan oleh hati terhadap kekuasaan-Nya ke atas setiap yang bergelar makhluk di muka bumi ini. Semuanya dapat dibuktikan melalui tindak balas kita semasa berdepan dengan ujian, yang berat atau pun yang ringan.

Bersyukurkah orang yang mendapat nikmat? Atau kufurkah orang yang mendapat musibah?

Firman Allah S.W.T lagi:

Maksudnya:

Dan apa Yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.

Dan juga dengan tujuan ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka: "Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)". Mereka menjawab: "Kalaulah Kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah Kami mengikut kamu (turut berperang)". mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. mereka selalu menyebut Dengan mulutnya apa Yang tidak ada Dalam hatinya. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan apa Yang mereka sembunyikan.

(Surah Ali Imran : ayat 166-167)

Maka saat apabila ujian ini dihamparkan, sudah pasti ada di antara manusia mukmin yang mengatakan:

"Mengapalah sampai begini sekali aku diuji?"

"Adakah tuhan itu adil kerana memberikan aku hanya yang celaka dan bala bencana?"

Dan ada segelintir antara mereka yang berkata:

"Ya Allah, aku redha dengan segala apa yang berlaku".

"Ya Allah, sememangnya aku ini insan yang lemah, tidak mampu untuk menghadapi ujian-Mu, maka kuatkanlah aku dengan agamamu, agar tidak aku terkandas di persimpangan jalan atau tergelicir ke tepian".

Maka, sepanjang diberikan ujian oleh Allah, orang yang tetap dan berterusan di dalam agamanya akan mendapat ganjaran dan habuan yang setimpal, begitu juga sebaliknya.

Tujuan diberikan ujian ini tidak lain adalah untuk menguji adakah benar-benar kita beriman kepada-Nya

Ini merupakan suatu sunnatullah bagi orang yang beriman, tidak ada sesiapa pun yang akan terkecuali. Daripada serendah-rendah peringkat masyarakat, sehinggalah ke tahap yang tertinggi, yang kaya atau yang miskin, yang di sana atau yang di sini, yang azhari atau yang perubatan, semuanya berada di bawah satu langit yang menghujankan 1001 macam ujian.

Buat kita, bersiap sedialah!!!

0 Komen:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin