Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Syukur & muhasabah yang berulang kembali

Ahad, 30 Ogos 2009

Hampir sebulan telah pun berlalu sejak keputusan peperiksaan kuliah kami ditampal. Seingat saya, ia mula menjadi tatapan para pelajar dua hari sebelum saya mengurai jalinan saf kepimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) yang tersusun selama satu sesi itu. Oleh kerana dihurung kesibukan yang tidak terurus akibat Mesyuarat Agung Tahunan yang berada di bawah seliaan saya, akhirnya saya gagal untuk mengikuti perkembangan kuliah yang kebiasaannya akan mengejutkan pelajar dengan keputusan peperiksaan yang keluar tanpa sebarang pemberitahuan. Oleh kerana itu, kejutan yang saya rasa sewaktu melihat sendiri keputusan peperiksaan tahun kedua tidak berulang kembali pada kali ini. Puncanya, saya telah pun mengetahuinya daripada mulut rakan-rakan terlebih dahulu. Biar pun jauh di lubuk hati mengharapkan apa yang diungkapkan itu menjadi kenyataan, namun saya tetap tidak mahu mempercayainya melainkan mata ini benar-benar menyaksikan kebenaran berita mereka.

Apa yang seharusnya saya ucapkan adalah Al-Hamdu Lillah, segala puji bagi Allah. Namun saya menyedari bahawa keputusan ini tidak setimpal dengan usaha saya yang terlalu sedikit. Ia terlalu baik untuk saya mendapatkannya. Pernah difikirkan, adakah ia nikmat atau pun ia istidraj dari Allah? Mudah-mudahan ia seiring dengan redha-Nya.

(Gambar Hiasan).

Walau bagaimanapun, saya tidak dapat menyembunyikan bahawa di sebalik kegembiraan yang memancarkan riak ceria bersama senyuman di wajah, tatkala itu juga tertanam kekecewaan di hati. Keputusan yang pada zahirnya kelihatan seperti mawar yang kekal mekar, tetapi pada hakikinya ia tidak lagi sesegar dahulu. Apa yang saya maksudkan adalah, saya bukan sahaja gagal untuk memperbaiki prestasi yang diperolehi sebelum ini, bahkan gagal untuk mempertahankannya, biar pun berada di tingkat yang sama. Saya merasai kemerosotannya melihat kepada kadar peratusan.

Saya tidak bersyukur dengan apa yang ada? Terpulanglah apa nilaian yang hendak diberikan. Anda seharusnya tidak berdiam duduk di bangku yang sama setelah mendapati betapa kerasnya ia. Jangan pula anda selesa berada di takuk yang lama sedangkan ruang pembaikan terbuka luas. Seorang mukmin sepatutnya membuai langkahan kakinya maju demi mencipta kemajuan yang berpanjangan biar pun hanya setapak ke hadapan, bukannya kemunduran yang mengecewakan.

Siapa yang perlu dipersalahkan? Persatuan yang saya ceburi? Rakan-rakan sekuliah? Rakan serumah? Diri sendiri?

Saya tidak akan sesekali menyalahkan persatuan yang sedia untuk dipergunakan oleh saya bagi membentuk peribadi yang mengenal serba sedikit erti kehidupan bermasyarakat. Bahkan boleh dikatakan kerananyalah saya mendapat apa yang saya perolehi hari ini. Apa yang saya takuti adalah tanggapan yang menyatakan persatuan adalah faktor kemerosotan akademik saya dan mereka yang sebarisan dengan saya. Jika ada laungan seperti itu, maaf saya katakan, mungkin ia adalah laungan si tarzan di dalam hutan. Tontonlah filem tarzan, jika anda ingin mengetahui tabiatnya sebelum mengenal dunia luar...

Saya juga tidak perlu menyalahkan rakan-rakan kerana saya dikuatkan dengan adanya mereka. Maka sedarlah saya, ia merupakan kesalahan diri sendiri.

Puncanya telah pun saya sedari sejak sekian lama. Namun di sini, momentum perubahan yang diinginkan terlalu sukar untuk digerakkan. Seolah-olah, ia memerlukan kepada suatu janaan mesin turbo bagi menghasilkan kuasa penolakan yang mampu untuk menghasilkan tindakan yang drastik seterusnya membawa kepada perubahan yang besar ke atas diri ini. Tetapi, bilakah ia akan menjelma? Di manakah akan saya perolehi kekuatan seperti itu? Soalan ini akan saya simpan untuk difikirkan sejenak.

0 Komen:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin