Subhanallah

Subhanallah
Indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa

Alhamdulillah

Alhamdulillah
Kalimah syukur di lubuk hati terluah indah di hujung alsinah

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Tinta buat mengenal Allah Pencipta Alam Semesta

Laa'ilaaha illa Allah

Laa'ilaaha illa Allah
Indahnya dunia dengan sinar Islam yang bergemerlapan

Hadis Sahih

Rabu, 10 Februari 2010

Hadis Sahih merupakan hadis yang memenuhi beberapa ciri atau syarat tertentu. Syarat tersebut adalah seperti mana berikut:

  1. Bersambung sanad hadis.
  2. Periwayatnya hendaklah adil.
  3. Periwayatnya hendaklah dhabit.
  4. Hadisnya tidak syaz.
  5. Hadisnya tidak mempunyai illah.

Jikalau sesuatu hadis didapati tidak memenuhi syarat-syarat yang disebutkan, maka martabat hadis mungkin akan menurun kepada hasan bahkan dhaif.




Sanad hadis yang bersambung

  1. Makna bersambung ialah:
    Seorang anak murid bertemu dan mendengar hadis daripada tok gurunya dan tok gurunya itu juga bertemu dan mendengar hadis daripada tok gurunya. Begitulah keadaannya sehingga ke penghujung sanad.
  2. Jika sanad tidak bersambung atau terputus, maka ia bermakna terdapat seorang periwayat atau lebih telah gugur, tidak disebutkan dalam sanad dan kita tidak mengetahui siapakah periwayat yang gugur itu. Mungkin mereka adalah orang tidak thiqah (lemah).
  3. Oleh kerana itu, hadis yang terputus sanadnya dihukumkan dhaif.

Periwayat yang adil

Secara ringkas, syarat untuk seseorang periwayat dikatakan adil ialah:

  1. Muslim
  2. Baligh
  3. Mempunyai akal yang waras
  4. Tidak melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kefasiqan dan merosakkan maruahnya.
  5. Tidak lalai dan leka serta sedar.
  6. Mengingati apa yang dihafalnya jika dia meriwayat hadis berdasarkan hafazannya.
  7. Menjaga kitabnya jika dia meriwayat hadis daripada kitabnya.
  8. Jika periwayat tersebut orang yang meriwayatkan hadis dengan makna, bukan dengan lafaz yang diungkapkan nabi, maka dia hendaklah mengetahui kalimah-kalimah yang boleh mengubah makna hadis.

Periwayat yang dhabit

  1. Dhabit bermaksud:
    Periwayat hadis menghafal hadisnya di dalam dadanya atau menjaga hadis tersebut dengan cara mencatatnya di dalam kitab. Kemudian mengeluarkannya daripada ingatan atau kitab ketika mana meriwayatkannya.
  2. Syarat ini memerlukan kepada sifat tidak leka, dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga dalam mengambil serta meriwayatkan hadis.

Tiada Syaz di dalam hadis

  1. Hadis sahih hendaklah bersih daripada syaz. Jika terdapat syaz di dalam hadis, maka hadis tersebut bukan lagi hadis yang sahih, tetapi telah menjadi hadis dhaif
  2. Syaz bermaksud:
    Seorang periwayat yang thiqah bercanggah dengan periwayat yang lebih tinggi darjatnya.
  3. Syaz bukanlah bermakna seseorang periwayat itu menjadi ganjil kerana secara seorang diri meriwayatkan hadis yang tidak diriwayatkan oleh orang lain.
  4. Hadis syaz ini ditolak kerana apabila periwayat tersebut bercanggah dengan periwayat yang lebih baik daripadanya dari segi kekuatan ingatan atau bilangan yang lebih ramai, maka hadis yang akan digunakan sudah tentu hadis periwayat yang lebih kuat ingatannya atau lebih ramai, dan hadis syaz ini ditinggalkan.
  5. Selain itu, timbul persoalan mengenai kesahihan hadis syaz dan mengapa ia bercanggah dengan orang yang lebih kuat ingatannya. Maka, kemungkinan yang berlaku adalah percanggahan tersebut kesilapan dalam hadis berkenaan.

Tiada Illah di dalam hadis

  1. Maksud tiada illah dalam hadis:
    Hadis tersebut bersih daripada kecacatan yang tersembunyi dan boleh merosakkan kesahihan sesuatu hadis. Tersembunyi dalam erti kata tidak disedari kewujudan cacat cela hadis berkenaan yang mana pada zahirnya hadis tersebut kelihatan tiada kecacatan, tetapi apabila diselidik maka kecacatan dapat diketahui.
  2. Hadis yang sahih mestilah terhindar daripada illah (kecacatan) ini. Jika tidak, hadis tersebut dianggap dhaif.

0 Komen:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin